Perasaan Hamba Itu

Sumber


Lala mengambil tempat di saf hadapan. Kelihatan tempat imam kosong, tiada tanda dari sekeliling akhawat untuk mengisi. Lalu Lala dengan rasa kosong terus berdiri di situ mengimami solat maghrib bersama akhawat yang lain. Tiba di rakaat yang kedua, Lala membacakan surah al-Insyirah namun ada satu perkataan yang Lala silap sebutkan.

"Faiza fagharta fansob"

Fafa yang berada tidak berapa jauh dari imam, membetulkan sebutan Lala. 

"Faiza faraghta fansob" 

3 kali dia membetulkan sebutan Lala. Tiga kali juga Lala mengulang-ulang ayat tersebut dengan sebutan yang sama. Lala tahan diri dari berputus asa menyebut dengan betul. Makin dicuba, makin salah sebutannya. Lala cuba bersabar. Kali keempat dia berjaya sebut dengan betul. Perkataan yang dia salah sebut sudah sebati dalam jiwanya. Sebelum ini tiada siapa yang datang membetulkannya. Lala bingung dan malu. 

Lala anak sulung. Anak sulung ada satu sifat yang buruk pada dirinya. Tidak suka dilihat lemah dan benci bila orang fokus pada kesalahannya. Ego. Susah ditegur kerana selalu mengarah adik-adiknya membuat perkara yang sepatutnya. 

Selesai solat maghrib, Lala solat rawatib ba3da maghrib. Kemudian, dengan perasaan malu yang masih belum menipis, dia keluar cepat-cepat dari ruang solat tersebut. Fafa memanggil Lala untuk duduk bersamanya. 

"Jom tasmi' surah tadi. Saya dah perasan awak asyik salah sebut je. Kali ini, saya dapat betulkan."

Lala tidak keruan. 'Adoi, takkan nak kena baca depan dia pulak?! Aku tahu aku salah, aku akan perbetulkan sendiri.', bentak hatinya. Datang seorang lagi akhawat cuba menolong memperbetulkan Lala. 

"Lala cuba sebut roti? Lala pelat R ke?"

Lala ikutkan saja kehendak dua akhawat tersebut dengan penuh terpaksa. Dalam diri, Allah sahaja tahu betapa hati menahan perasaan malu di depan dua akhawat tersebut. Rasa macam lari terus dari bilik itu. Keluar dari situ secepat mungkin! Akhirnya Lala berjaya tasmi' surah tersebut dengan bacaan yang betul dan lancar. Lala baru tahu apa salahnya tapi perasaan malu dan egonya masih tak berkurang.

Sesudah Fafa mengangguk betul akan bacaan Lala, terus Lala keluar dari bilik tanpa sebarang kata, meninggalkan Fafa terpinga-pinga. Lala sebenarnya marah dan malu dengan Fafa. Mengapa perlu fokus sangat pada kesalahannya? Lemah semangatnya berdepan dengan situasi tersebut. Jatuh maruahnya. 

Lala duduk di meja studinya. Berfikir sebentar, muhasabah diri sendiri. 

Tak lama kemudian, datang Nana menghantar mesej di aplikasi 'Whatsapp'. Terus Lala menghamburkan perasaannya pada Nana, menceritakan apa yang baru berlaku. Nana jawab dengan jujur. Kedua-dua pihak memainkan peranan dalam hal ini. Seorang perlu membuka diri utk ditolong. Seorang lagi perlu pandai mencari situasi yang sesuai utk menegur. 

Lala rasa bersalah. Dia tahu dia tak patut keluar dari bilik Fafa tanpa sebarang terima kasih. Fafa ingin menolong membetulkan bacaannya. Bukankah itu satu perkara yang baik? Nana memberi cadangan bagaiamana jika Lala menghantar mesej kepada Fafa. Nana tahu Lala itu orangnya macamana. Sama sahaja seperti dia, anak sulung dalam keluarga. Punya sifat yang sama. 

Maka Lala pun menghantar mesej meminta maaf pada Fafa, menerangkan situasi sebenar. Betapa malunya dia ditegur di hadapan beberapa orang. Fafa membalas mesejnya;

"Fafa buat macam ini sebab Fafa nak orang buat benda yang sama pada Fafa. Betulkan kesalahan Fafa. Lagi-lagi bila kita sedang berhadapan dengan Allah. Tiada siapa yang lebih mulia di hadapan Allah melainkan siapa yang tinggi imannya. AlQuran itu ada pada hati kita."

Gulp. Perit menelan kata-kata Fafa. Ada betulnya kata Fafa. Siapa kita di mata Allah, imam atau makmum sama sahaja. Allah melihat pada taqwa sahaja. 

Waktu Isyak masuk. Fafa datang memanggil akhawat lain utk solat bersama termasuk Lala. Lala berlakon macho macam takde pape berlaku. Membaca nota menunggu akhawat lain masuk mengambil tempat di saf jemaah. Lala ambil tempat di saf kedua. Lala solat seperti biasa namun dalam hatinya, terngiang-ngiang kata-kata naqibahnya, Kak Syasya mentadabbur surah Ibrahim ayat 11-23. 

"Apa bezanya Iblis dan Adam ialah Adam itu manusia. Dia membuat kesilapan lalu dia mengakui kesilapannya dan meminta ampun di atas kesalahannya. Iblis itu membuat kesilapan tapi dia tak mahu mengakui kesalahannya apatah lagi dia menyalahkan Allah atas apa yang berlaku. Melalui kisah ini, Allah mengajarkan kepada kita melalui Nabi Adam bahawa kita ini hamba, tiada apa yang hebat pada kita. Saat berhadapan dengan Allah, kita ini hanya hambaNya. Hamba yang lemah, selalu buat salah, selalu terjerumus dalam dosa. Maka apa yang perlu kita buat ialah mengakui kesilapan dan memohon ampunan pada Allah. Manusia yang berdosa dan memohon ampun itu darjatnya lebih tinggi daripada malaikat yang tidak pernah berdosa." 

'Allah...', hati Lala menyerah kalah saat dia sedang berhadapan Allah dalam solat Isyaknya. 

'Ya Allah, aku ini hanyalah hambaMu. Tiada apa-apa pada diriku. Penuh dengan dosa dan silap salah. Maka Kau berikanlah aku keampunanMu. Rabbana zolamna anfusana wa in lam taghfirlana watarhamna lanakuna minal khosirin.' 

Terus menitik-nitik air matanya jatuh ke pipi. Satu persatu. Sudah lama perasaan ini hilang daripada dirinya. Perasaan ini yang Lala cari dalam qiamnya, perasaan ini yang dia rindu dalam sujudnya, perasaan yang wujud pada tahun-tahun awal tarbiyahnya. Perasaan hamba, tidak punya apa-apa di hadapan Rabbnya. Allah itu Ghani kita ini faqir. Maka si faqir patutnya meminta pada al-Ghani. Puas hati Lala, hatinya lega. Perasaan hamba itu kembali mengisi penuh hatinya. 

'Ya Allah, Kau kekalkanlah perasaan ini sampai bila-bila ya Allah', pohon Lala dalam sujudnya sambil teresak-esak tangisannya. 

Selesai solat rawatib ba3da isyak, Lala terus keluar menutup muka dengan telekungnya. Tak nak mana-mana akhawat nampak mukanya yang penuh dengan air mata dan merah matanya. Tatkala perjalanan ke meja studinya, Lala tersenyum syukur. 

'Ya Allah syukur alhamdulillah atas nikmat perasaan yang Kau beri melalui tarbiyahMu ini. Tiada apa yang lebih indah daripada duduk di bawah tarbiyahMu'


[Malahayati]

Comments

Popular Posts